Pengundi Luar Sedia Tukar Kerajaan PAS Kelantan

Barisan Nasional (BN) yakin pengundi yang berada di luar negeri sudah bersedia menukar Kerajaan PAS Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, hasil tinjauan dan maklumat yang dilakukan pihaknya mendapati mereka telah membuka hati untuk memberi peluang kepada BN menerajui kepemimpinan kerajaan negeri itu.

Katanya, perubahan sikap yang ditunjukkan itu sememangnya di luar jangkaan pihaknya.

“Hasil tinjauan kita yang berkesempatan berjumpa anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman baru-baru ini mendapati mereka menyatakan kesediaan untuk memberi peluang kepada BN mengambil alih Kelantan.

“Perkembangan itu menyaksikan akhirnya kebenaran yang kita laungkan selama ini mendapat tempat di hati rakyat. Apabila pengundi luar balik ke kampung halaman, mereka melihat pelbagai perubahan yang kita laksanakan.

“Meskipun sudah 27 tahun kita tidak diberi kepercayaan menerajui Kelantan namun tanpa pernah ada rasa putus asa dan jemu, kita tetap bekerja bagi membantu rakyat,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kelantan di pejabat agensi tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah berkata, kemampuan BN untuk kembali merampas Kelantan bukan sesuatu yang mustahil tetapi sepatutnya berlaku dalam PRU-14.

“Kita yakin rakyat akan menilai kerja kita selama ini dan menterjemahkan dengan memberi kemenangan kepada BN,” katanya. – 4 Julai 2017.