Hina Agong: Polis Tahan Catt Ginger

Polis menahan Catt Ginger berhubung kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang tular di laman Facebook sejak 25 Jun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur berjaya menangkap individu menggunakan nama samaran Catt Ginger.

“Syabas Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur berjaya tangkap Catt Ginger yang menghina Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Banginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi kemaskini status di laman Twitter hari ini.

Difahamkan, seorang wanita berusia 41 tahun telah ditangkap di Taman Usahawan, Kepong oleh pasukan Bahagian Jenayah Siber Multimedia Bukit Aman.

Menerusi tangkapan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah komputer riba, satu unit modem dan dua unit router.

Siasatan mengenai kes tersebut diteruskan dan tindakan sewajarnya akan diambil. – 5 Julai 2017.