Husam Mungkin ‘Mengigau’

Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa disifatkan sebagai sudah tidak sabar mahu menjadi Menteri Besar Kelantan meskipun parti diwakilinya belum menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, sesiapapun boleh memasang impian untuk menjadi Menteri Besar termasuk Husam.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak akan menjadi kenyataan jika partinya tidak menang dalam pilihan raya selain perlu mendapat restu istana.

“Sebenarnya mana-mana parti yang menang boleh menamakan calon Menteri Besar. Sehubungan itu, kalau nak jadi Menteri Besar, pastikan parti kita menang dulu.

“Janganlah sampai kahwin pun belum tiba-tiba sudah ada nama anak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan PAS Kelantan hari ini.

Dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di sini baru-baru ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Semalam, Husam dilaporkan sedia menerima pencalonan tersebut selain mencabar PAS Kelantan mengikut jejak langkah DAP menamakan calon Menteri Besarnya sendiri.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, Husam mungkin ‘mengigau’ apabila melontarkan cabaran tidak kena pada tempatnya.

“Buat apa kita mahu menamakan calon Menteri Besar. Sekarang kita kerajaan, jadi Menteri Besar yang ada sekarang itulah Menteri Besar kita.

“Lagipun beliau masih berupaya menjalankan tugas dengan baik. Beliau juga dipilih sendiri oleh Allahyarham Tuan Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan direstui istana.

“Bukan macam Husam. Dia dicadangkan Kit Siang sahaja,” katanya. – 5 Julai 2017.