Kelantan Sambut Baik Usaha Perangi Pil Kuda

Kerajaan PAS Kelantan menyambut baik sebarang inisiatif pihak berkuasa menggunakan pelbagai kaedah bersesuaian bagi mengurangkan aktiviti penyeludupan pil kuda di sempadan Thailand-Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya juga menerima cadangan supaya pagar keselamatan dibina di sepanjang kawasan negeri itu yang bersempadan dengan Thailand.

“Pada asasnya memang kita menerima cadangan untuk membuat pagar namun kita harap, pagar ini kelak tidak menutup terus laluan keluar masuk penduduk seperti Tembok Berlin.

“Kita kena ambil kira faktor sosial penduduk di sempadan yang mempunyai hubungan kekeluargaan serta aktiviti ekonomi mereka,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Exco hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan polis supaya menggunakan pelbagai kaedah termasuk menyekat lorong tikus dan gajah di sempadan Thailand-Kelantan bagi mengurangkan kes penyeludupan pil kuda.

Malah beliau turut menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan terhadap usaha diambilnya dalam menangani masalah tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, cadangan supaya kawasan rizab Sungai Golok dikosongkan daripada sebarang penempatan juga wajar dipertimbangkan.

“Kalau betul nak buat pagar atau benteng, memang tanah ini perlu dikosongkan. Bagaimanapun perkara ini adalah di bawah bidang kuasa JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran),” katanya. – 5 Julai 2017.