Tiga Pelajar SMK Bukit Jawa Maut Kemalangan

Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa maut manakala seorang rakannya cedera parah  selepas terbabit dalam satu kemalangan di kilometer 26 jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 pagi itu kereta yang dinaiki empat pelajar terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Suprintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pelajar yang memandu kereta Proton Iswara bersama dua rakannya tersepit di didalam kereta terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pemandu kenderaan Proton Pesona yang datang dari arah Pasir Puteh- Kota Bharu turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk rawatan lanjut,” katanya semasa dihubungi.

Beliau berkata, ketiga-tiga mayat terbabit dihantar ke unit forensik HTA untuk bedah siasat.

Mangsa yang meninggal dunia semuanya berusia 19 tahun iaitu Ahmad Amirul Razali, Amir Amjad Zuhar dan Che Muhammad Syafiq  Che Suriadi.

Manakala seorang lagi rakan mereka yang cedera Muhammad Idzzat Haiqal Mohd Ridzuan, 19, mendapat rawatan lanjut di HTA.

Kesemua mereka adalah pelajar Tingkatan Enam SMK Bukit Jawa.

Sementara itu, tiga penumpang Proton Pesona disahkan selamat. – 5 Julai 2017.