DAP Luas Pengaruh Di Kelantan?

Apakah DAP akan meluaskan pengaruhnya di Kelantan dengan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14)?

Ini kerana desas desus mengatakan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama telah bertiup kencang sejak sebelum Ramadan lalu.

Biarpun lebih 90 peratus penduduk negeri itu berketurunan Melayu dan Islam tetapi DAP telah berjaya membuka cawangannya yang pertama pada tahun 2010 di DUN Kota Lama.

Malah sejak akhir-akhir ini, difahamkan parti yang berasaskan kaum Cina itu amat aktif menjalankan aktiviti untuk mendekati pengundi di kawasan tersebut.

DUN Kota Lama merupakan satu-satunya kerusi yang mempunyai pengundi bukan Melayu hampir 40 peratus di negeri itu.

Dan kerusi tersebut diwakili oleh Datuk Annuar Tan Abdullah, seorang Cina Muslim daripada PAS sejak tahun 1999 bagi membawa suara kaum tersebut dalam Kerajaan PAS Kelantan.

Hasrat DAP itu tidak menjadi satu masalah besar kerana mereka dilihat sebagai parti yang dominan dalam Pakatan Harapan sehinggakan Penasihatnya, Lim Kit Siang telah menamakan Penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa sebagai bakal Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya menawan Kelantan.

Perpecahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang di antara PAS dengan Pakatan Harapan yang ditunjangi DAP dilihat membuka ruang kepada parti itu untuk memperluaskan pengaruhnya di bumi Serambi Mekah itu.

Walaupun cakap-cakap mengenai calon DAP telah berlegar dalam kalangan orang politik di kawasan Parlimen berkenaan namun Pengerusi PAN negeri, Datuk Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bagaimanapun menolak dakwaan tersebut.

“Pakatan Harapan akan bertanding di 45 kerusi DUN dan 14 Parlimen tetapi kita belum memuktamadkan lagi senarai calon.

“Kita meletakkan calon terdiri daripada orang lama dan baharu termasuk golongan profesional serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pakatan Harapan yakin mempunyai peluang untuk menamatkan penguasaan PAS di Kelantan,” katanya yang merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Sementara itu, katanya, langkah Kit Siang menamakan Husam sebagai calon Menteri Besar hanya cadangan peribadi beliau yang mahu melihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu mengetuai pentadbiran Kelantan.

“Bagaimanapun, Husam tetap akan mempertahankan kerusi DUN Salor dan bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu yang mungkin berhadapan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan,” katanya.

PAN yang merupakan parti serpihan PAS amat aktif di negeri ini untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yakob. – 6 Julai 2017.