Hina Raja Bukan Perkara Baharu, Perlu Tindakan Tegas

Tindakan tegas terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V adalah wajar kerana perbuatan sedemikian merupakan suatu penghinaan kepada seluruh umat Islam.

Yang Dipertua Putra Malaysia Kelantan, Ahmad Amiruddin Ahmad Nizirin berkata, selain itu perbuatan tersebut disifatkan sebagai cukup biadab.

Katanya, malah tindakan berbentuk penghinaan itu bukan perkara baharu sebaliknya sering kali dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang langsung tidak menghormati institusi kesultanan.

“Umat Islam seluruh negara khususnya rakyat negeri ini (Kelantan) tidak dapat menerima penghinaan tersebut. Pihak berkuasa perlu bertindak tegas, jika tidak mungkin perkara sama akan berulang pada masa depan,” katanya.

Sejak kelmarin, pelbagai pihak membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar Sultan Muhammad V yang diubah suai dengan imej memalukan oleh seorang pengguna laman sosial Facebook.

Pengguna Facebook tersebut, Catt Ginger bertindak memuat naik gambar Sultan Muhammad V yang telah disunting bersama ucapan Selamat Hari Raya pada 25 Jun lalu yang merupakan hari pertama umat Islam menyambut Aidilfitri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga digesa memandang serius perkara ini dengan mengenakan tindakan setegas-tegasnya kepada mereka yang melakukan perbuatan itu.

Katanya, sejak akhir-akhir ini, laman-laman sosial dilihat menjadi medan kepada individu tidak bertanggungjawab menghina institusi kesultanan dan Islam.

“Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai kaum. Seharusnya kita perlu saling menghormati agar negara sentiasa hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohamad Azam Ismail berkata, perbuatan menghina institusi kesultanan dikhuatiri semakin serius dan berleluasa jika tiada tindakan tegas diambil terhadap pelaku.

Justeru katanya, pihak berkuasa perlu menyiasat secara terperinci perkara tersebut secepat mungkin termasuk mengesan pelaku dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah.

“Ini bukan kali pertama, tetapi sudah beberapa kali Sultan Muhammad V dihina menerusi media sosial. Golongan ini semakin berani menghina institusi kesultanan.

“Jika pihak berkuasa tidak bertindak tegas, tidak mustahil perkara sama berulang pada masa depan,” katanya. – 6 Julai 2017.