PKINK Pandang Serius Pekerja Asing Tidak Ada Permit

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) memandang serius kewujudan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di tapak-tapak projek perumahan syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Datuk Dr. Wan Zawawi Wan Ismail berkata, pihaknya menitik berat perkara tersebut dengan hanya mengambil pekerja yang mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Pada masa sama, kita juga melakukan pemantauan bagi memastikan 100 peratus pekerja warga asing mempunyai permit,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya PKINK di Perdana Resort, PCB.

Baru-baru ini, Jabatan Imigresen negeri menahan 147 pekerja warga asing dalam serbuan di tapak projek perumahan yang dilaksanakan PKINK di Kampung Badang, PCB.

Dalam serbuan tersebut, mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Pakistan dan Indonesia yang berumur dalam lingkungan 25 sehingga 50 tahun.

Mengulas lanjut, Wan Zawawi berkata, pekerja warga asing yang ditahan itu telah melalui pemeriksaan sebelum kesemuanya dibebaskan.

“Ketika ditahan saya juga terkejut, tetapi apabila saya menghubungi kontrator, dia menjelaskan yang pekerja warga asing di tapak projek syarikat itu 100 peratus mempunyai permit sah.

“Mereka hanya diambil untuk melakukan pemeriksaan sebelum dihantar balik,” katanya. – 5 Julai 2017.