Seekor Tapir Jantan Ditemui Sesat

Seekor tapir jantan ditemui sesat dalam sebuah kebun getah di Kampung Bukit, Pasir Puteh semalam.

Menurut pemilik kebun berkenaan, Mat Yaakub Mat Jusuh, 50, haiwan itu ditemui dalam keadaan lemah dengan beberapa bahagian badannya cedera kira-kira pukul 7 malam.

“Kecederaan itu mungkin diserang oleh binatang buas. Saya cuba tangkap dan tambat di belakang rumah untuk selamatkan binatang itu.

“Saya juga sudah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohd. Hasdi Hussin mengesahkan menerima laporan berhubung perkara berkaitan dan tindakan bagi menyelamatnya akan dilakukan secepat mungkin.

“Ia akan dibawa dan dirawat di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Tengi, Selangor dalam masa yang terdekat memandangkan kecederaannya yang dikenalpasti agak serius,” katanya. – 6 Julai 2017.