Ahmad Syakir Baru Tahu Sahabatnya Meninggal Dunia

Salah seorang pelajar Maahad Tahfiz Al Hashimi, Ahmad Syakir Azfar Abd. Rahim, 16, mengakui baru mengetahui berita mengenai kematian tujuh rakanya dalam kemalangan di Kampung Telekong, Kuala Krai pada 2 Jun lalu.

Ahmad Syakir Azfar berkata, dia baru sahaja mengetahui mengenai berita kematian sahabat-sahabatnya beberapa hari lalu.

“Saya terkejut dan tidak sangka mereka sudah tiada. Sedih tetapi saya tetap bersemangat untuk belajar semula,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Maahad Tahfiz Al Hashimi di Kuala Krai hari ini.

Pada majlis tersebut, para tetamu yang hadir tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata saat melihat Ahmad Syakir dan rakannya, Muhammad Nur Haikal Pauzi, 14, yang terselamat dalam kemalangan itu menggunakan kerusi roda ketika hadir dalam majlis itu.

Sementara itu menurut ibu Syakir, Mariati Ismail, 50, anaknya belum mampu berjalan sendiri dan terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda.

“Dia juga perlu dibantu untuk bangkit dari tempat tidur dan belakangnya perlu disokong selain cepat lenguh.

“Pada hari Rabu ini, dia akan dimasukkan ke hospital semula untuk menjalani ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) bagi mengetahui punca sebenar masalah tidak dapat berjalan,” katanya. – 8 Julai 2017.