Bukan Ancaman Kepada UMNO

UMNO Tanah Merah tidak berasa terancam dengan kewujudan PAN dan parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di kawasan parlimen itu.

Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, dalam sebuah negara berdemokrasi, kehadiran parti-parti baharu adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Dalam sistem demokrasi, kehadiran PAN dan Bersatu adalah bukan satu masalah malah sedikit sebanyak ia memberi motivasi kepada kita untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Sama ada mereka ada atau tidak, kita akan sentiasa bekerja untuk rakyat. Biar rakyat yang menentukan dan menilai siapa pemimpin sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh. – 8 Julai 2017.