DAP Mungkin Tidak Boleh Tanding PRU14

Calon DAP mungkin berdepan masalah tidak boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14) akan datang sekiranya parti itu tidak mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP, parti itu perlu mengadakan semula pemilihan CEC.

“Ini kerana pemilihannya pada 2013 tidak sah disebabkan tidak mengikut komposisi pecahan cawangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Dewan Sri Iskandar, Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mempersoalkan kewajaran calon DAP bertanding dalam PRU kerana mereka dipilih oleh kepimpinan parti yang tidak diiktiraf.

“Surat yang ditandatangani Setiausaha Agung DAP juga tidak diiktiraf dan melanggar undang-undang.

“Ini bukan campur tangan saya sebagai Menteri Dalam Negeri tetapi mengikut undang-undang dan perlembagaan parti, mereka perlu buat pemilihan CEC semula,” katanya. – 9 Julai2017.