Doktor Gigi Dikhuatiri Sesat Di Gunung Yong Belar

Seorang doktor gigi berusia 29 tahun dikhuatiri sesat selepas mendaki Gunung Yong Belar, di Gua Musang semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kumpulan berkenaan memulakan aktiviti mendaki gunung tersebut pada jam 7.30 pagi.

Mangsa dilaporkan hilang selepas terpisah dengan 30 rakan pendaki lain kira-kira pukul 4.30 petang.

“Kehilangan mangsa yang berasal dari Melaka disedari pemandu arah berusia 24 tahun yang kemudian membuat laporan.

“Mangsa didapati terpisah dan tidak bersama ahli kumpulannya ketika mereka berkumpul di kem Tudung Periuk,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pemakaian Pangkat kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Hasanuddin berkata, laporan berhubung perkara berkaitan telah dibuat di Balai Polis Lojing, Gua Musang.

“Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan secara bersepadu membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan serta Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya. – 9 Julai 2017.