UMNO Konsisten, Sokongan Rakyat Kian Terserlah

UMNO dan Barisan Nasional (BN) konsisten dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira latar belakang demi kesejahteraan semua pihak.

Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan supaya rakyat mampu menggunakan kebijaksanaan memilih parti politik dan kerajaan yang mengutamakan agenda kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin UMNO mampu bertapak di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang. Keprihatinan kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang turun ke peringkat akar umbi di negeri ini turut membangkitkan kesedaran rakyat.

“Ini termasuk membantu membangunkan Kelantan dari aspek keperluan semasa seperti pembinaan hospital, membangunkan sosio- ekonomi dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Perupuk sempena sambutan hari raya Aidilfitri peringkat Parlimen Bachok.

Dr. Awang Adek berkata, sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN semakin terserlah dan beliau akan terus berkecimpung aktif dalam politik serta menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya bersikap terbuka dengan semangat sentiasa bersedia untuk berkhidmat dan mengalu-alukan kehadiran calon atau tokoh UMNO yang lebih baik dan berwibawa dengan prinsip BN akan menerajui kerajaan negeri pada masa akan datang,” katanya. – 9 Julai 2017.