UMNO Tanah Merah Usaha Bangunkan DUN Gual Ipoh

UMNO Bahagian Tanah Merah akan terus berusaha mengubah landskap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh menerusi beberapa projek pembangunan.

Ketuanya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya sedang menunggu keputusan permohonan beberapa projek besar demi keselesaan rakyat di kawasan tersebut.

“Walaupun sudah banyak perubahan yang telah dilakukan namun, masih banyak lagi pembangunan yang ingin kita laksanakan.

“Ini adalah salah satu usaha kita untuk menghargai rakyat yang sentiasa menyokong kita. Oleh itu, kita berharap permohonan untuk projek insfrastruktur di kawasan ini dapat diluluskan,” katanya.

Ikmal Hisham berkata, sehingga kini, beberapa projek pembangunan sedang giat dilaksanakan di kawasan DUN berkenaan.

“Untuk projek di Bandar Baharu Kampung Basong, kita telah menerima peruntukan berjumlah RM70 juta di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membina 400 unit rumah.

“Projek yang turut dilengkapi dengan kemudahan seperti masjid, dewan serta taman rekreasi itu telah bermula tahun ini dan dijangka siap tahun 2019,” katanya.

Tambahnya, projek untuk menaiktaraf Pasar Gual Ipoh yang bernilai RM2 juta juga akan bermula tahun ini. – 9 Julai 2017.