Hina Agong: Penduduk Chetok Buat Laporan Polis

Penduduk Kampung Chetok mengadakan perhimpunan aman membantah tindakan pengguna laman Facebook yang menghina Yang di Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang tular baru-baru ini.

Perhimpunan yang diketuai Pentadbir Mukim Chetok Shamsudin Yusoff itu turut disertai lebih 100 penduduk kampung yang mahukan pihak berkenaan mengambil tindakan segera terhadap individu terbabit.

Sehubungan itu, Shamsudin yang mewakili penduduk kampung berkenaan turut membuat satu laporan polis di Balai Polis To’ Uban berhubung perkara berkaitan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

Beliau berkata, perbuatan biadab menghina raja tidak sepatutnya dipandang remeh dan tindakan keras harus dikenakan terhadap pelaku.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini dan, menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi memastikan pihak terlibat tidak lagi mengulangi kesilapan tersebut pada masa hadapan,” katanya ditemui selepas membuat laporan polis.

Sejak kelmarin, pelbagai pihak membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar Sultan Muhammad V yang diubah suai dengan imej memalukan oleh seorang pengguna laman sosial Facebook.

Pengguna Facebook tersebut, Catt Ginger bertindak memuat naik gambar Sultan Muhammad V yang telah disunting bersama ucapan Selamat Hari Raya pada 25 Jun lalu yang merupakan hari pertama umat Islam menyambut Aidilfitri. – 10 Julai 2017.