Mufti Nasihat Individu ‘Cabul’ Poster Gadis Shell Bertaubat

Individu yang bertindak ‘mencabul’ poster gadis iklan Shell sehingga tular baru-baru ini diingatkan supaya bertaubat.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbuatan tersebut adalah memalukan selain menjatuhkan maruah orang Muslim.

“Kami menasihatkan beberapa individu yang telah berbuat demikian terhadap ‘standee’ wanita tersebut wajar bertaubat dan berubah menjadi Muslim yang lebih baik,” kata Zulkifli yang dikongsikan menerusi laman Facebooknya.

Terdahulu, iklan gadis Shell ditarik semula berkuat kuasa serta-merta awal bulan ini susulan tindakan beberapa individu tidak bertanggunjawab melakukan aksi tidak senonoh dan ‘mencabul’ poster tersebut sehingga tular di media sosial.

Zulkifli berkata, kaum wanita juga perlu berusaha untuk mengelakkan sebarang fitnah.

“Justeru, kami melihat usaha Shell menarik kembali ‘standee’ berkenaan wajar dipuji kerana ia menutup pintu-pintu fitnah dalam masyarakat.

“Kami percaya akan kebijaksanaan pihak Shell dalam menangani isu ini dan bersedia untuk memberikan buah fikiran dan pandangan sekiranya ada keperluan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi blognya berkata, tindakan individu yang terlibat adalah sangat mengecewakan, memalukan dan bertentangan dengan budaya peradaban masyarakat kita.

“Ia merupakan satu penghinaan dan kurangnya rasa hormat segelintir pihak terhadap wanita, berhentilah melakukan wanita sebagai objek, kita bertanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa buat kaum tersebut.

“Walaupun ada yang berniat untuk berjenaka, saya mahukan kita semua lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat,” katanya. – 10 Julai 2017.