Token Cryptocurrency: Pemuda PAN Buat Laporan Polis

Pemuda PAN Kelantan membuat satu laporan polis berhubung dakwaan kerajaan PAS Kelantan yang mengutip wang dengan menjual token cryptocurrency.

Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Pemudanya, Hazmi Hassan yang turut dihadiri kira-kira 30 penyokong Pakatan Harapan.

Menerusi laporan itu beliau menggesa supaya pihak berwajib segera menyiasat dakwaan tersebut.

“Saya dengan ini memohon agar pihak berkenaan menjalankan siasatan segera hubungan antara Climate Protectors Sdn. Bhd. dan Ecobit serta kerajaan Kelantan.

“Ini kerana mengikut carian rasmi yang saya buat pemilik Ecobit adalah individu yang sama dengan salah seorang ahli lembaga pengarah Climate Protectors.

“Aktiviti keduanya secara jelas merujuk kepada kelulusan satu juta ekar di dalam mempromosikan perniagaan cryptocurrency Ecobit yang tiada kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Menurutnya dalam perjanjian pada 9 Januari awal tahun ini, pihak kerajaan negeri menyerahkan kepada Climate Protectors sejuta ekar hutan simpan (HSK) bagi tujuan yang didakwa sebagai program Carbon Climate Change.

Katanya, program itu di bawah inisiatif melindungi alam sekitar daripada pemusnahan hutan dan degradasi (REDD) melibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang pernah ditimbulkan dalam sidang Dun Kelantan pada Oktober 2016.

Tambahnya lagi, pada 17 Februari 2017, Kementerian Sumber Asli telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Kelantan berhubung inisiatif (REDD) bercanggah dan tidak memenuhi syarat Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai perubahan ilkim (UNFCCC).

“Pada 23 Jun 2017 pula, BNM (Bank Negara Malaysia) menerusi laman webnya menyenaraikan Climate Protectors Sdn Bhd. dan sekutunya Ecobit sebagai beroperasi tanpa kelulusan BNM.

“Semua ini tidak dihiraukan Menteri Besar Kelantan kerana dalam satu majlis sambutan hari raya pada 26 Jun sekali lagi diumumkan penglibatan kerajaan negeri dalam projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pihak PBB melalui agensinya United Nation Development program (UNDP) pula pada 5 Julai 2017 menafikan penglibatan PBB dalam projek berkenaan.

“Saya secara peribadi telah pergi mencari syarikat berkenaan berdasarkan alamat berdaftar syarikat berkenaan akan tetapi tiada pejabat syarikat berkenaan di alamat yang telah didaftarkan itu,” katanya.

Jelasnya, bermula 9 April tahun ini, Ecobit mula menggunakan kelulusan sejuta ekar HSK itu dengan mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau apa yang didakwa cryptocurrency yang kemudiannya disahkan tidak mendapat kelulusan BNM. – 10 Julai 2017.