Video Gelek Pinggul Artis Dikir Barat Cetus Kontroversi

Persembahan bagi meraikan pengantin baru di Kampung Padang Tembesu, Tumpat bertukar kontroversi apabila tiga artis dikir barat wanita menyanyi sambil menari tarian gelek pinggul.

Persembahan yang menjolok mata itu dimuatnaik menerusi laman sosial Facebook dengan tiga video yang berdurasi selama satu jam, lima minit dan 12 minit.

Video tersebut menyaksikan tiga wanita dilihat beraksi bersama beberapa artis dikir barat lelaki sekali gus ia dikutuk teruk oleh netizen.

Malah, ada yang mengaitkan persembahan tersebut dengan negeri Serambi Mekah yang disifatkan mereka sebagai semakin tercalar.

Sementara itu sebuah portal berita online melaporkan, Ketua Jajahan Tumpat Rosnazli Amin memberitahu, persembahan itu tidak mendapat permit hiburan daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.

Beliau berkata, tuan rumah tidak sepatutnya membiarkan persembahan yang bercanggah dengan syiar Islam.

Katanya, dasar kerajaan negeri jelas menyatakan hanya lelaki, dan jika melibatkan wanita, hanya kanak-kanak 12 tahun kebawah sahaja dibenarkan membuat persembahan menyanyi di khalayak ramai.

“Majlis yang murni iaitu perkahwinan orang Islam untuk mendapat keredaan Allah SWT, bukan mengadakan majlis yang bercanggah dengan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, Bahagian III, Pelesenan, Perkara 6.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Tambahnya, masyarakat seharusnya sensitif dengan sebarang tindakan diluar norma kesopanan sehingga boleh meletakkan keluarga berkenaan menanggung aib akibat perbuatan sendiri sehingga menjadi bahan percakapan masyarakat sekitar. – 10 Julai 2017.