Dr. M Lakukan Apa Sahaja Demi Nafsu Politik

Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melakukan pusingan U dengan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri membuktikan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk memuaskan nafsu politiknya.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Muhammad Azam Ismail berkata, situasi tersebut tidak mengejutkan kerana semua sedia maklum bekas Perdana Menteri itu akan terus melakukan pelbagai perkara pelik lagi meskipun terpaksa menggadaikan prinsip atau maruah.

Katanya, ketika Anwar dikenakan tindakan pada 2 September 1998, Dr. Mahathir telah mengarahkan semua barisan pimpinan Pemuda UMNO untuk meyakinkan ahli bahawa bekas timbalannya itu bersalah berkaitan isu moral dan korupsi.

“Hari ini kita lihat Dr. Mahathir sudah jauh tersasar dan boleh pula menyokong Anwar yang beliau sendiri menjadi pelaku utama menyingkirkannya,” katanya.

The Guardian dalam temubual dengan Dr. Mahathir ketika lawatan beliau ke London baru-baru ini melaporkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) itu menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau mendapat pengampunan diraja.

Mengulas lanjut, Muhammad Azam berkata, Dr. Mahathir akan terus melakukan apa sahaja selepas ini untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan bersalah.

Bagaimanapun katanya, beliau percaya rakyat boleh menilai sendiri kelakuan Dr. Mahathir itu dan tidak akan mudah terpengaruh.

“Mahathir mempunyai kaedah pemerintahan kuku besi pada zamannya dimana siapa lawan dan tidak mendengar cakap akan dikenakan tindakan. Hari ini, sikap itu dilihat masih ada,” katanya. – 10 Julai 2017.