Dr. Mahathir Terdesak

PAS mempersoal adakah tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini tidak benar apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad secara tiba-tiba ingin menerima semula Penasihat Umum PKR itu sebagai Perdana Menteri.

Dalam masa sama, PAS juga menyifatkan Dr. Mahathir sebagai terdesak dan mempunyai kepentingan politik apabila sanggup membuat pusingan U menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Kalau benar kesalahan itu, adalah pelik Mahathir sanggup bersekongkol dengan orang yang melakukan liwat.

“Saya lihat situasi ini lebih pada kepentingan politik Mahathir untuk mencapai cita-citanya sendiri.

“Mahathir juga dilihat terdesak untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan akhirnya terpaksa bergabung dengan musuh politiknya sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam kenyataan kepada The Guardian ketika di London baru-baru ini dilaporkan menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau mendapat pengampunan diraja. – 11 Julai 2017.