DUN Kelantan Muktamadkan Mat Yussof Hilang Kelayakan

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang bersidang hari ini memuktamadkan keputusan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, dari Barisan Nasional (BN), Datuk Mat Yusoff Abd Ghani hilang kelayakan memegang jawatan tersebut selepas diisytihar muflis.

Perkara itu diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdulah Ya’kub selepas mendapat persetujuan majoriti ADUN pada persidangan tersebut.

Katanya, berdasarkan persetujuan itu, dewan memukmadkan bahawa Mat Yussof adalah tidak layak sebagai ADUN mengikut Perkara 31 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh kerajaan Kelantan.

Katanya, perkara tersebut menyatakan ‘dengan tertakluk kepada syarat-syarat perkara ini, seseorang itu tidak layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri jika ia muflis yang belum selesaikan lagi’.

“Setelah mendapat undian 32 ADUN yang sokong usul ini, saya dengan ini mengisytiharkan Mat Yussof adalah tidak layak menjadi ADUN dan kerusi Nenggiri kosong bermula pada hari ini,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan mengemukakan cadangan kepada dewan untuk memuktamadkan kelayakan Mat Yussof. – 11 Julai 2017.