Kerajaan Kesal Fitnah Kelantan International Bike Week

Kerajaan PAS Kelantan kesal dengan tindakan segelintir pihak yang membuat fitnah program Kelantan International Bike Week 2017 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV minggu lalu sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu telah menularkan gambar tarian kontroversi artis dikir barat kononnya diadakan pada program sama sedangkan ia langsung tidak ada kena-mengena.

Katanya, tarian kontroversi tersebut didapati berlaku dalam satu majlis perkahwinan di Tumpat dan perkara tersebut telah diambil tindakan lanjut.

“Amat malang apabila ada individu mempunyai niat tidak baik, kita harap mereka minta maaf kerana membuat fitnah mengaitkan dengan program Kelantan International Bike Week.

“Mungkin mereka berasa dengki dengan kejayaan program tersebut yang disertai lebih 4,500 peserta,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Baru-baru ini sesetengah pihak khususnya PAN telah menyebarkan gambar tarian kontroversi tersebut dengan mengaitkan dengan program Kelantan international Bike Week bagi mencemarkan imej Kerajaan PAS Kelantan. – 11 Jun 2017.