Pakatan Harapan Terus Keliru

Pakatan Harapan yang diketuai DAP dilihat terus keliru apabila masih gagal menyelesaikan soal calon yang bakal diketengahkan sebagai Perdana Menteri.

Lebih pelik juga apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat pusingan U dengan kembali menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pakatan tersebut masih berada dalam kemelut kerana tidak dapat menyelesaikan soal calon yang bakal diketengahkan sebagai Perdana Menteri.

Malah katanya, Anwar yang pernah ditendang sendiri oleh Mahathir dahulu kini cuba diangkat kembali oleh bekas Perdana Menteri itu.

“Anwar sejak daripada awal ditendang keluar dan akhir-akhir ini apabila dia (Mahathir) tidak mendapat seorang tokoh (untuk dijadikan calon Perdana Menteri), maka dia cuba maafkan, minta dibebaskan dan naikkan semula Anwar.

“Bagi saya itu kemelut yang berlaku dalam Pakatan Harapan yang mereka tidak boleh selesaikan,” katanya.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam kenyataan kepada The Guardian ketika di London baru-baru ini dilaporkan menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau mendapat pengampunan diraja.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS masih menganggap Anwar yang disabitkan dengan masalah moral sebagai mangsa konspirasi kerajaan semasa di bawah pimpinan Dr. Mahathir dahulu.

“Saya fikir kalau kes melibatkan hukum syarak mesti dibawa ke Mahkamah Syariah dan ini yang kita harap. Tanpa pembuktian Syarie, kita masih anggap dia (Anwar) menjadi mangsa konspirasi dan itu pendirian kita daripada dahulu,” katanya. – 10 Julai 2017.