Sukar Laksana Rancangan Pembangunan Di Kelantan

Rakyat Kelantan wajar memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan rancangan pembangunan di negeri itu dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, agenda tersebut (pembangunan) sukar dilaksanakan dengan lancar kerana gagal mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

Beliau berkata, Kelantan merupakan negeri yang mendapat peruntukan tertinggi dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan ia sepatutnya dapat dilakukan dengan mudah serta lancar.

“Sebagai contoh, di Tanah Merah kita memperoleh peruntukan RM21 juta bagi mendirikan tiga dewan serbaguna untuk kemudahan rakyat tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan tanah.

“Amat malang sekali sekiranya peruntukan yang sudah diluluskan itu terpaksa dipulangkan semula kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri seharusnya sedar segala pembangunan yang dibawa oleh kerajaan Persekutuan di Kelantan adalah untuk kepentingan rakyat semata-mata. – 11 Julai 2017.