Adakan Semula Pemilihan CEC Jika DAP Telus – Mohd. Amar

PAS berpandangan DAP perlu mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) mengikut arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi membuktikan parti itu tidak mempunyai masalah dalaman dan telus.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu dilihat seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu sehingga tidak berani untuk melaksanakan arahan yang ‘mudah’ daripada ROS kerana itu tanggungjawab mereka untuk memenuhi tuntutan undang-undang.

Malah katanya, aduan mengenai manupulasi pemilihan CEC pada tahun 2012 itu dibuat oleh ahli-ahli DAP sendiri yang pastinya ada asas.

“Apa hendak takutnya buat pemilihan semula dan apa hendak ditakutkan kalau tidak ada masalah dalaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Jumaat lalu, ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memi­lih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung­nya yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng mempertikaikan arahan ROS itu dan bertegas untuk tidak akan me­ngadakan pemilihan semula CEC yang baharu dengan alasan parti itu telah berbuat demikian pada 29 September 2013.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, DAP perlu tanggung implikasi pada masa depan sekiranya mereka ingkar dengan arahan ROS tersebut.

“Negara kita ada undang-undang mengapa perlu ingkar,” katanya. – 11 Julai 2017.