Annuar Tan Kata Pemilik Climate Protector Warak, Kaki Masjid?

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Annuar Tan Abdullah berkata, salah seorang pemilik Climate Protector Sdn. Bhd. merupakan individu yang warak serta kaki masjid.

Tambah beliau, syarikat milik bumiputera Kelantan dan beralamat di Kota Bharu tersebut juga memiliki pemegang saham yang terdiri daripada individu yang mempunyai latar belakang baik serta bersih daripada sebarang salah laku.

Sehubungan itu tegasnya, adalah melampau untuk menuduh syarikat tersebut sebuah syarikat penipu dan mahu mengaut keuntungan semata-mata daripada perdagangan karbon kredit yang diusahakan kerajaan negeri.

“Mereka ini adalah orang jurus belaka. Takkanlah tergamak mahu menipu sebagaimana didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Baru-baru ini Naib Presiden PAN Datuk Husam Musa mempersoalkan keputusan kerajaan PAS Kelantan meluluskan 404,685 hektar hutan simpan kekal (HSK) untuk projek dagangan kredit karbon kepada sebuah syarikat yang disenaraikan Bank Negara Malaysia (BNM) beroperasi secara haram.

Husam mendakwa orang ramai mungkin menjadi mangsa penipuan apabila langkah meluluskan konsesi 30 tahun kepada syarikat berkenaan untuk meningkatkan stok karbon di hutan hujan, turut digunakan untuk mengutip wang daripada orang ramai melalui penjualan token digital.

Sementara itu, sesi penggulungan oleh Anuar (PAS-Kota Lama) juga digunakan sepenuhnya sebagai sesi menyerang Husam sehingga beliau ‘panas punggung’ dan cuba mencelah namun langsung tidak diberi laluan.

Menurut Annuar, berdasarkan tindak-tanduknya selama ini, Husam mempunyai sikap ‘superiority complex’ atau perasaan bangga diri apabila berasakan hanya beliau sahaja yang pandai dan betul berbanding orang lain.

Oleh sebab itu katanya, Husam dengan angkuh dan yakin mencipta pelbagai spekulasi termasuk mendakwa kerajaan negeri menipu dan mengutip duit rakyat secara haram menerusi pelaksanaan projek karbon kredit.

“Ini satu tuduhan dan fitnah begitu serius sekali. Kita tidak pernah buat kutipan wang atau menerima apa-apa bayaran daripada mana-mana syarikat sebagaimana didakwa.

“Untuk makluman, apabila kerajaan negeri menerima sebarang kutipan, wang itu dikumpul dan disalur dalam satu akaun. Daripada akaun inilah kita membayar gaji seluruh kakitangan awam di negeri ini.

“Dengan duit, kita beri makan isteri dan anak-anak setiap hari. Jadi adakah kita orang Islam tergamak guna duit haram untuk bayar gaji seluruh kakitangan dan beri makan anak isteri sendiri dengan duit ini,” katanya.

Annuar dalam pada itu memberitahu, mengikut kandungan perjanjian, kerajaan negeri hanya akan menerima bayaran pertama daripada syarikat pengendali projek tersebut iaitu Climate Protector seawal-awalnya hujung 2018. – 12 Julai 2017.