DUN Kelantan Lulus RUU Jenayah Syariah

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Kali Kedua Penggal Kelima yang berlangsung hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (pindaan 2017).

Perkara tersebut dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Speaker DUN, Datuk Abdullah Yaa’kub mengumumkan kelulusan itu selepas ia disokong sebulat suara oleh ahli dewan yang hadir.

Mohd Nassuruddin berkata, tiga faktor utama pindaan perlu dilakukan dan diluluskan segera, antaranya ia sudah berusia 15 tahun dan perkembangan moden begitu cepat bagi menangani isu-isu perundangan.

Katanya, pindaan itu perlu bagi membantu hakim syariah, pendakwa syarie, peguam syariah, penguatkuasa agama dalam menjalankan prosedur kes jenayah syariah dengan lebih teratur dan seragam.

Antara pindaan yang akan digunapakai adalah membolehkan seseorang yang dihukum bersalah disebat di khalayak, penguatkuasa agama boleh menggunakan gari, video boleh dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan. – 12 Julai 2017.