Hukuman Sebat Di Khalayak Ramai Diluluskan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di khalayak ramai.

Antara perkara lain yang turut terkandung dalam enakmen tersebut ialah memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan,

Kelulusan terhadap pindaan terbabit diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Yaa’kub selepas disokong sebulat suara oleh ahli dewan yang hadir.

Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Ketika membentangkan usul itu, Mohd. Nassuruddin berkata, beberapa faktor utama telah diambil kira bagi melakukan pindaan termasuk enakmen tersebut yang sudah berusia 15 tahun dan keadaan semasa dunia yang berkembang pesat.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika ditemui di luar dewan memberitahu, terdapat 33 fasal dalam RUU terbabit yang dipinda bagi memperkemaskan hukuman sedia ada serta beberapa proses teknikal lain.

“Contohnya seperti hukum sebat yang kini boleh dilaksanakan di dalam atau di luar penjara, bergantung kepada keputusan mahkamah.

“Perkara ini bertepatan dengan kehendak agama sebab hukuman syariah itu mestilah dibuat di hadapan khalayak ramai,” katanya.

Beliau turut mengakui pindaan tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan kerajaan negeri untuk melaksanakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) jika ia diluluskan di Parlimen kelak. – 12 Julai 2017.