Kerajaan PAS Kelantan Patut Lebih Terbuka Terima Teguran

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setiap isu dibangkitkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dibuat dengan niat baik dan ikhlas.

Tegas beliau, tindakan tersebut bukan dilakukan secara membuta tuli, sebaliknya bersifat membina dan sebagai mewakili rakyat yang sentiasa ingin tahu perkara berkaitan urus tadbir negeri.

“Hari ini, ADUN Bukit Bunga iaitu Datuk Mohd. Adhan Kechik dan ADUN Gual Ipoh Mohd. Bakri Mustapha membangkitkan soal perniagaan karbon kredit dalam dewan. Kita berniat baik, cuma ingin tahu perkara sebenar kerana rakyat juga mahu tahu.

“Apa yang kita buat merupakan teguran positif semata-mata mahu membela rakyat. Begitu juga isu-isu berkaitan Orang Asli umpamanya. Kita bersikap positif dalam isu ini jadi harap kerajaan negeri juga ambil sikap terbuka,” katanya.

Ketika sesi pagi sidang DUN Kelantan semalam, Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’kub menolak usul Mohd. Adhan (BN-Bukit Bunga) supaya isu berkaitan perdagangan kredit karbon yang ditandatangani kerajaan negeri dengan syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. dibahaskan.

Sementara itu, Mohd. Adhan berkata, beliau kesal usulnya ditolak tanpa alasan kukuh oleh Speaker DUN sedangkan isu berkenaan melibatkan kepentingan orang ramai di negeri berkenaan.

Katanya, berdasarkan siasatan dan perkembangan terkini, pelbagai keraguan terhadap keupayaan Climate Protector mulai timbul namun kerajaan negeri pula dilihat tergesa-gesa memeterai rundingan tanpa melakukan kajian mendalam.

“Apa yang kita harapkan sebenarnya kerajaan negeri menangguhkan dulu kerjasama ini, dan buat kajian terlebih dahulu.

“Macam ada pihak yang terlalu bersemangat sampai tidak mahu selidik apa-apa. Isu ini bukan baru, saya pernah bangkitkan ketika mengemukakan soalan tambahan pada sidang DUN Mac lalu.

“Apakah memang wujud pelobi tertentu yang dilindungi pihak tertentu.” katanya.

Baru-baru ini, PAN dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis setelah mendakwa projek berkenaan dijalankan oleh sebuah syarikat yang bukan sahaja tidak berdaftar di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) malah disenarai hitam. – 12 Julai 2017.