Kerajaan PAS, Pusat Kerjasama Selesai Masalah Orang Asli

Kerajaan PAS Kelantan dan Kerajaan Pusat disarankan mengadakan kerjasama dalam menyelesaikan segala masalah berkaitan kepentingan Orang Asli di negeri itu.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) berkata, langkah tersebut penting bagi mencari penyelesaian lestari yang boleh memajukan masyarakat tersebut untuk jangka masa panjang.

Sehubungan itu soal Mustapa, adakah kerajaan negeri bersifat terbuka untuk duduk semeja dengan Pusat bagi membincang mengenai masalah tersebut khususnya berkaitan soal tanah dan ekonomi mereka.

“Soal tanah Orang Asli merupakan isu besar di Kelantan, tarik minat seluruh rakyat negeri ini. Sejauh mana kerajaan negeri terbuka untuk adakan kerjasama dengan Pusat untuk selesaikan masalah ini.

“Jika terbuka adakah sanggup duduk semeja dengan Pusat kerana ia melibatkan kepentingan umum,” katanya ketika mengutarakan soalan tambahan berkaitan masalah tanah Orang Asli dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Sebelum itu, Ab Aziz Yussof (BN-Galas) mengutarakan soalan mengenai tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan PAS Kelantan dalam isu keputusan penghakiman kes tanah Orang Asli di Pos Belatim, Gua Musang.

Menjawab soalan tambahan Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antabangsa dan Industri, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam soal tersebut.

“Kerjasama tersebut bukan sahaja melibatkan masalah Orang Asli malah melibatkan soal-soal lain demi kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya. – 11 Julai 2017.