Masalah Air Selesai 9 Tahun Lagi

Kerajaan PAS Kelantan memberi jaminan menyelesaikan masalah gangguan air dalam tempoh sembilan tahun selepas menggantikan paip lama dan membina loji rawatan air di seluruh negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, usaha tersebut akan dilaksanakan bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bermula tahun ini.

Katanya, pada masa ini, kebanyakkan penduduk menggunakan bekalan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

“Buat masa ini, penggunaan air di Kelantan membabitkan 480 juta liter sehari, namun ia masih memerlukan penambahan kepada 800 juta liter bagi menampung 85 peratus penduduk menggunakan air AKSB dalam jangka masa sembilan tahun.

“Kita juga sedia maklum kebocoran paip di negeri ini adalah masalah utama berlakunya gangguan bekalan air, bukannya faktor kekurangan kapasiti pengeluaran air dari loji rawatan air semata-mata,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) mengenai kadar air tidak terhasil (NRW) di Kelantan, Hanifa berkata, mengikut rekod, sebanyak 49 peratus NRW dicatatkan di negeri itu.

Katanya, mengikut perancangan bersama KeTTHA, pihaknya akan berusaha menurunkan NRW kepada 39 peratus dalam jangka masa tiga tahun melalui gantian paip lama secara berperingkat.

“Contohnya di Bachok, apa yang kita hadapi adalah kesukaran untuk mengesan kebocoran paip memandangkan kebanyakkan struktur tanah di daerah itu adalah pasir yang mana ia menyerap air dari paip yang bocor ke dalam tanah.

“Bagaimanapun, kita akan berusaha menyelesaikan masalah ini dengan menukar paip lama sepanjang 40 kilometer membabitkan kos RM20 juta,” katanya. – 11 Julai 2017.