Pasar Terapung Baharu Di Pengkalan Datu

Tahun lalu, pasar terapung di Pulau Suri, Tumpat yang mula beroperasi mencuri tumpuan pelbagai pihak kerana menjadi pasar terapung pertama di negara ini.

Susulan kejayaan itu, satu lagi pasar menggunakan pendekatan serupa akan dibuka di Lembangan Sungai Pengkalan Datu (LSPD), bermula 9 September depan.

Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (Waspada), Mohd. Asri Husin berkata, pasar tersebut merupakan sebuah pasar tani berkonsepkan pelancongan dan akan dibuka dalam skala yang jauh lebih besar.

“Setakat ini perbincangan telah dilakukan dengan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi merealisasikan rancangan tersebut.

“Pasar tani pelancongan ini merupakan gabungan pasar di daratan dan pasar terapung. Diharap usaha ini dapat mempromosikan LSPD sebagai hab pelancongan baharu di Kelantan selain meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam Program Lawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti-Universiti Awam ke LSPD, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan untuk menarik kira-kira 60 peniaga tempatan bagi menyertai pasar tani pelancongan itu.

“Esok kami akan adakan pertemuan dengan peniaga-peniaga dan memberi taklimat kepada mereka mengenai pasar tani pelancongan yang akan dibuka di Pengkalan Datu.

“Kita akan terangkan lebih lanjut mengenai keperluan pemasaran, prospek perniagaan dan bagaimana mereka boleh menjana keuntungan apabila menyertai pasar tersebut,” katanya. – 12 Julai 2017.