Perjanjian Karbon Kredit Meragukan

Datuk Husam Musa (PAN- Salor) mempersoalkan perjanjian kerjasama Kerajaan PAS Kelantan yang dengan sebuah syarikat meragukan melibatkan perniagaan karbon kredit.

Katanya, perjanjian itu membabitkan tanah yang perlu mendapat persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berdasarkan Enakmen Khas Taman Negara Kelantan 1938.

“Kita tidak tahu dari mana syarikat itu mendapatkan wang berjumlah RM10 juta untuk diberikan kepada kerajaan negeri melainkan daripada hasil penjualan bit coin yang haram di sisi undang-undang.

“Hasil semakan PAN, kita dapati alamat syarikat itu tidak wujud dan sepatutnya kerajaan negeri membuat laporan polis kerana membabitkan kepentingan semua,” katanya dalam sidang akhbar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik berkata, perjanjian yang dibuat itu membabitkan hutan di taman negara di Kelantan Selatan seluas 404,685 hektar.

Katanya, urus niaga (karbon kredit) berkenaan amat meragukan kerana status syarikat yang dilaporkan terbabit dalam penyelewengan di luar negara.

“Kita nak tahu sama ada perniagaan ini membuahkan hasil atau tidak kerana sehingga sekarang tidak nampak hasil yang disumbangkan (syarikat) kepada kerajaan negeri.

“Mereka (syarikat) janji hendak bagi RM10 juta kepada kerajaan negeri dan jika beroperasi sepenuhnya akan beri sebanyak 55 peratus daripada hasil,” katanya.

Terdahulu, Speaker DUN Datuk Abdullah Ya’kub menolak usul yang dikemukakan oleh Mohd Adhan mengenai cadangan itu ketika sesi perbahasan persidangan DUN kerana kerajaan negeri masih meneliti perkara itu.

Mohd Adhan berharap kerajaan negeri tidak terus membisu dan menjelaskan perjanjian perniagaan dengan syarikat terbabit kerana tidak pernah mengendalikan perniagaan karbon kredit.

“Saya harap kerajaan negeri membuat kajian terperinci atau menangguhkan urusan perniagaan dengan syarikat itu kerana bimbang akan memberi kesan buruk kepada negeri,” katanya. – 11 Julai 2017.