Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat Kumpul RM3.2 Juta

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini diberitahu Kerajaan PAS Kelantan mengumpul sebanyak RM3.2 juta menerusi Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat.

Tabung tersebut telah diwujudkan sejak lima tahun lalu bagi membiayai pembinaan lebuh raya sepanjang 10 kilometer dari Bukit Tiu ke Berangan Mek Nab di Machang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, sebanyak RM2 juta telah dibelanjakan bagi membiayai sebahagian daripada projek tersebut setakat ini.

“Perancangan awal kita, projek berkenaan dapat disiapkan pada Mac 2018, namun selepas kontraktor yang dilantik menarik diri, kita terpaksa lantik kontraktor baharu.

“Tarikh siap baharu bagi lebuh raya berkenaan dijangka siap pada Oktober 2018,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) yang ingin tahu pecahan penggunaan Wang Tabung Amanah Lebuh Raya Rakyat dan kepada siapa bayarannya dibuat. – 12 Julai 2017.