Tiada Cara Lain Kecuali Lupus Unggas Dan Telur

Tiada cara lain selain melupuskan semua unggas dan telurnya di lokasi yang disahkan positif selesema burung (H5N1) bagi membendung wabak tersebut daripada menular ke kawasan lain.

Perkara tersebut ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Che Abdullah berkata, langkah tersebut juga menepati prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Wabak ini merupakan penyakit saluran pernafasan yang sangat mudah berjangkit dengan kadar kematian mencecah 95 peratus. Wabak ini juga berpotensi menjangkiti manusia.

“Oleh sebab itu, melupuskan unggas merupakan kaedah terbaik yang kita ambil bagi membendung penularan wabak ini. Namun kita sentiasa terbuka kepada sebarang cadangan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Roseli Ismail (PAS-Kemuning) yang berharap kerajaan mencari alternatif lain selain melupuskan unggas di kawasan positif wabak H5N1 bagi mengurangkan kerugian para penternak.

Terdahulu ketika menjawab soalan Mohd. Rozi Mohamad (PAS-Tendong), Che Abdullah memberitahu, Kelantan disahkan bebas wabak H5N1 sepenuhnya pada 1 Julai lalu selepas tiada pengesanan penyakit baharu dalam tempoh 90 hari.

Beliau berkata, sepanjang wabak tersebut melanda negeri itu, sebanyak 56,953 unggas dan 17,531 telur unggas telah dilupuskan.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) membayar pampasan sebanyak RM413,004.60 kepada 1,034 penternak yang terlibat dengan pelupusan ternakan masing-masing,” katanya. – 12 Julai 2017.