Anggota MPKB- BRI Diserang, Empat Kenderaan Dirosakkan

Tiga lelaki bertindak ganas menyerang anggota Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB- BRI) dengan menggunakan pedang samurai dan parang selepas tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa tersebut merampas peralatan shisha mereka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam tadi, dua buah kenderaan MPKB-BRI yang digunakan ketika menjalankan operasi membanteras penjualan shisha dirosakkan oleh kumpulan suspek tersebut di Persimpangan Paya Rambai, Jalan Bayam.

Lebih mengejutkan suspek sama turut membuat kacau di rumah Ketua Unit Operasi MPKB-BRI, Mohd. Halimi Md. Salleh yang terletak di Berek 12 termasuk merosakkan dua buah kereta serta memecahkan tingkap kediaman tersebut.

Suspek dikatakan berang dengan Mohd. Halimi yang mengetuai operasi itu selain memberi amaran kepada pegawai tersebut supaya tidak mengganggu perniagaan mereka.

Mohd. Halimi berkata, ketiga-tiga suspek tidak berpuas hati setelah premis mereka yang menjalankan perniagaan menjual shisha diserbu dan beberapa peralatan dirampas.

“Suspek mencari saya untuk memberi amaran supaya tidak mengganggu perniagaan shisha mereka.

“Suspek merosakkan dua kenderaan MPKB-BRI, sebelum mereka merosakkan dua buah kereta dan cermin tingkap hadapan rumah saya,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi. – 13 Julai 2017.