Kaedah Dan Pendekatan Sebat Masih Sama

Hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah di Kelantan akan diadakan mengikut kaedah dan pendekatan yang sama biarpun Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 dipinda dan diluluskan dalam sidang Dewan Undang Negeri Kelantan.

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad berkata, pindaan tersebut hanya melibatkan lokasi pelaksanaan hukuman itu.

Beliau berkata, sebelum ini, sebatan hanya dilaksanakan di penjara dan bukannya di khalayak ramai sepertimana yang diluluskan hari ini.

“Apa yang berbeza ialah makhkamah akan menentukan mana-mana lokasi sesuai di khalayak ramai dan selamat seperti stadium untuk melaksanakan hukuman tersebut selepas ini.

“Kita masih mengekalkan kaedah sama seperti cara sebatan, jenis rotan dan ukuran rotan. Pelaksanaannya juga mesti diluluskan dari Jabatan Kesihatan dan masa sebatan tersebut turut dihadiri oleh doktor,” katanya.

Di antara kesalahan melibatkan hukuman sebat ialah zina, mukadimah zina, liwat, tuduh individu berzina dan minum arak.

DUN Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di khalayak ramai.

Antara perkara lain yang turut terkandung dalam enakmen tersebut ialah memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyambut baik hukuman sebat terhadap pesalah di khalayak ramai kerana langkah tersebut dilihat membantu mendidik masyarakat dan mampu menyelesaikan gejala-gejala negatif.

Katanya, setiap pindaan itu adalah bertujuan untuk menambahbaik undang-undang sedia ada dan demi kebaikkan umat Islam.

“Seperti biasa setiap undang-undang digubal bertujuan mendidik masyarakat lebih menghormati, patuh dan apabila undang-undang lebih tegas dikenakan ia mampu membantu menyelesaikan gejala tidak sihat dalam kalangan masyarakat.

“Seluruh umat Islam perlu meyakini bahawa undang-undang yang digubal itu termasuk Akta 355 adalah demi kebaikkan umat Islam,” katanya. – 13 Julai 2017.