Dua Lelaki Serang Anggota MPKB Ditahan

Polis menahan dua lelaki pagi semalam bagi membantu siasatan kes anggota Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB- BRI) yang diserang dengan pedang Samurai dan parang kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan secara berasingan di sekitar bandar ini kira-kira pukul 6 pagi dan 10 pagi oleh anggota polis yang melakukan usaha memburu suspek.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, mereka ditahan bagi membantu pihaknya memburu suspek sebenar yang masih bebas.

“Kita percaya akan dapat menahan mereka dalam masa terdekat dan polis membuka empat kertas siasatan berhubung kejadian ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 472 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana ugutan jenayah, menghalang tugas penjawat awam, perbuatan khianat serta memiliki senjata berbahaya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 kelmarin, dua buah kenderaan MPKB- BRI yang digunakan ketika menjalankan operasi membanteras penjualan shisha dirosakkan kumpulan suspek tersebut di Persimpangan Paya Rambai, Jalan Bayam.

Suspek dikatakan turut membuat kacau di rumah Ketua Unit Operasi MPKB- BRI, Mohd. Halimi Md. Salleh yang terletak di Berak 12 di sini termasuk merosakkan dua buah kereta serta memecahkan tingkap kediaman tersebut.

Lelaki itu turut memberi amaran kepada Mohd. Halimi yang sebelum itu mengetuai operasi tersebut. – 14 Julai 2017.