NGO Sambut Baik Sebat Tempat Terbuka

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan menyambut baik perlaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah syariah di khalayak ramai.

Malah mereka juga berharap Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) diluluskan di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukuman tersebut segera dijalankan di negeri ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) negeri, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, hukuman sebat di khalayak ramai pada dasarnya cukup bagus untuk memberi kesedaran kepada pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan.

Bagaimanapun katanya, perlaksanaan tersebut perlu dijelaskan secara terperinci kepada rakyat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan timbul salah faham.

“Perlaksanaan hukuman seperti ini hendaklah dibincangkan oleh pihak berkuasa negeri dan pihak yang terlibat secara langsung mengenai kaedah sebatan yang hendak dilaksanakan terhadap pesalah,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka.

Tambah Mohd. Fared, hukuman tersebut juga dilihat dapat membantu mengurangkan jenayah syariah khususnya berkaitan zina dan minum arak yang dilihat semakin berleluasa dan sukar dikekang.

“Hukuman ini juga boleh memberi kesan mendalam serta pengajaran kepada masyarakat khususnya pesalah kerana memberikan pengajaran yang amat berguna,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Putra Malaysia (Putra) Kelantan, Ahmad Amiruddin Ahmad Nizirin berkata, langkah yang hendak dilaksanakan kerajaan negeri itu merupakan usaha positif dalam menegakkan undang-undang Islam.

Dalam masa sama katanya, orang bukan Islam tidak perlu risau kerana undang-undang berkenaan hanya terpakai kepada masyarakat Islam.

“Hukuman sebat di tempat terbuka ini boleh memberi kesedaran kepada masyarakat dan diharap ia segera dilaksanakan. Malah, negeri-negeri lain juga dinasihatkan mengikut jejak langkah Kelantan,” katanya. – 14 Julai 2017.