Empat Anak Tidak Punya Sijil Lahir

Seorang bapa di Kampung Air Limau, Peralla, Tanah Merah buntu mengenangkan nasib anak-anaknya yang tidak boleh bersekolah kerana tidak mempunyai surat beranak.

Ramzi Husain, 39, berkata, keempat-empat anaknya yang berusia 11 hingga empat tahun itu tidak mempunyai surat beranak kerana dia gagal untuk mendaftarkan semula perkahwinan bersama isterinya yang berasal dari Thailand, Rosnani Dolah di selatan Thailand pada 2005.

Katanya, anak sulung Ayu Azinie, 11, dan anak bongsunya, Mohammad Amizan Amri, 4, dilahirkan di Tanah Merah manakala dua lagi anaknya iaitu Rosmawati,9, dan Mohammad Alif, 6, dilahirkan di Thailand.

“Sebelum ini, anak-anak saya tinggal bersama isteri di Munduk, Thailand manakala saya banyak berulang alik mencari rezeki di Kuala Lumpur. Sekali sekala saya akan pulang menjenguk anak-anak di sana.

“Ketika tinggal di Munduk, tiga daripada empat anak saya sempat bersekolah di sana sebelum isteri saya meninggal dunia pada Mac lalu kerana sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Dakwa Ramzi, keadaan semakin menghimpit mereka setelah isterinya meninggal dan memaksanya membawa pulang anak-anaknya ke kampung (Paralla).

“Setelah kematian isteri, saya kembali ke sini April lalu. Waktu itu, saya tiada jalan lain dan terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak-anak di sini. Di sini, saya menoreh getah untuk menampung kehidupan kami meskipun hasil yang diterima tidak menentu,” katanya.

Ramzi berkata, setiap malam, mereka lima beranak hanya akan ditemani dengan cahaya pelita dan lilin memandangkan rumahnya agak jauh terpencil selain ketiadaan elektrik.

“Rumah yang kami diami sekarang ini adalah rumah peninggalan emak saya dan keadaan yang cukup daif kerana sudah empat tahun rumah ini tidak didiami.

“Jalan untuk ke rumah ini juga hanya boleh dilalui dengan motosikal ataupun kenderaan pacuan empat roda (4×4) sahaja. Selain itu, untuk mandi dan memasak, kami mendapatkan sumber air sungai yang terletak berhampiran rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Peralla, Zamzuri Arifin berkata, pihaknya akan berusaha membantu sedaya upaya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi Ramzi.

“Sempena lawatan hari ini, kami mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Gual Ipoh, Mohd. Bakri Mustapha untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian.

“Selepas ini, kita akan membantu apa yang diperlukan oleh Ramzi termasuk mendapatkan surat beranak anak-anaknya mengikut saluran yang betul,” katanya.

Tambah Zamzuri, sebelum ini, kisah Ramzi ini sudah tular di laman sosial Facebook, namun apa yang dilaporkan jauh berbeza dengan apa yang sebenarnya berlaku.

“Dalam kes ini, tidak timbul isu mengenai ADUN mahupun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) tidak prihatin dengan kesusahan hidup yang dialami Ramzi kerana dia baharu sahaja tiga bulan pulang ke sini.

“Sebelum ini Ramzi tidak tinggal di sini dan rumah itu juga tidak berpenghuni sejak sekian lama,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zamzuri di talian 019-9679898 atau Pengerusi JKKKP Mukim Peralla, Abdul Ghafar Musa di talian 018-9139323. – 15 Julai 2017.