Jangan Campur Urusan Islam

Kerajaan PAS Kelantan memberi amaran kepada parti politik bukan Islam supaya tutup mulut dan tidak masuk campur dalam hal ehwal Islam terutama dalam perlaksanaan hukuman sebat di tempat terbuka terhadap pesalah jenayah syariah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud menegaskan, MCA, Gerakan dan DAP yang mempersoalkan mengenai hukuman tersebut tidak ada hak untuk berbicara berhubung hal ehwal Islam.

Katanya, mereka perlu membuat kajian terlebih dahulu mengenai Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Undang-undang dan hukuman ini tidak ada kena mengena dengan mereka (bukan Islam). Tidak sepatutnya mereka memberi komen sedangkan mereka tidak memahaminya,” katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan DAP, MCA dan Gerakan mengkritik langkah kerajaan PAS Kelantan akan melaksanakan hukuman sebat secara terbuka di tempat terbuka selepas rang undang-undang mengenainya diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dilaporkan berkata, PAS cuba mencari kepentingan politik bagi mendapatkan sokongan orang Islam dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan melaksanakan undang-undang tersebut.

Dalam masa sama, Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim dalam akhbar sama turut membidas PAS yang didakwa terdesak mengunakan imej Islam bagi mendapatkan kemenangan di Kelantan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum itu sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka. – 15 Julai 2017.