Rakyat Kelantan Sokong Hukuman Sebat Di Tempat Terbuka

Rata-rata rakyat Kelantan menyambut baik dan menyokong penuh perlaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah syariah di laksanakan di tempat terbuka.

Seorang peniaga, Ibrahim Omar, 59, berkata , hukuman sebat terhadap pesalah syariah di khalayak ramai merupakan usaha yang sangat positif dilakukan oleh Kerajaan PAS Kelantan untuk melihat tertegaknya hukuman Islam di negeri itu.

“Sebagaimana yang kita tahu, hukuman sebat ini ialah hukuman yang diperintahkan oleh Allah dan perlu diikuti oleh seluruh umat Islam.” katanya.

Seorang anggota penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Muhamad Huzaifah Abdul Halim, 25, berkata, hukuman sebat di khalayak ramai seperti yang diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan merupakan simbol kepada ketegasan agama Islam dalam menjaga umatnya daripada melakukan jenayah-jenayah syariah.

“Secara peribadi, saya sangat bersetuju dengan hukuman ini demi mengajar umat Islam supaya menjaga maruah diri, agama, harta, keturunan sesuai dengan Maqasid Syariah,” katanya.

Bagi seorang kakitangan swasta, Muhamad Aamir Sabarin Ismail, 26, pula berkata, Kerajaan PAS Kelantan lama berusaha untuk menegakkan undang-undang Islam dan diharapkan ia menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

Katanya, hukuman tersebut diharap dapat memberi kesedaran kepada pesalah jenayah syariah dan masyarakat.

“Hukuman ini bukan bertujuan mengaibkan sebaliknya memberi kesedaran dan kegerunan kepada rakyat,” katanya.

Abdul Razak Mohd. Zin berpandangan, sekiranya hukuman ini dilaksanakan dihadapan khalayak ramai ia sekali gus akan menjadi pengajaran kepada masyarakat Islam supaya tidak melakukan jenayah syariah.

DUN Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di khalayak ramai.

Antara perkara lain yang turut terkandung dalam enakmen tersebut ialah memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan. – 15 Julai 2017.