Usaha Tutup Bangkai Gajah

Perlantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan manakala Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi disifatkan sebagai usaha untuk menutupi bangkai gajah.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan itu sendri telah menggambarkan betapa mereka sedang menghadapi masalah dan cuba untuk lindungi keadaan sebenar.

“Keadaan sebenarnya adalah Pakatan Harapan adalah pimpinan DAP dan DAP sendiri dikuasai oleh oleh Lim Kit Siang. Jadi mereka tidak boleh cuba bersembunyi kerana itu realitinya.

“Yang memimpin mestilah parti yang mempunyai kerusi terbanyak dan kerusi terbanyak di bawah pakatan mereka adalah DAP. Oleh itu, senarai itu sebenarnya usaha untuk menutup bangkai gajah,” katanya selepas menyempurnakan Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sempena Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para Asean Kesembilan.

Akhbar semalam melaporkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP mencapai kata putus melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum manakala Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi.

Perkara itu diumumkan oleh Dr. Mahathir dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang berlangsung selama kira-kira lima jam di ibu pejabat PKR.

Menurut Dr. Mahathir, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Presiden bagi gabungan pakatan itu.

Dalam pada itu, Annuar berkata, perlantikan itu juga menunjukkan mereka (Pakatan Harapan) berada dalam keadaan panik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

“Dalam Pakatan Harapan, kita tahu mereka sedang menghadapi masalah besar kerana satu kapal ada tiga nakhoda dan satu bantal ada berbagai-bagai mimpi yang berlainan.

“Jadi bila mereka sangka PRU semakin dekat, mereka kelam-kabut dan cuba mengeluarkan senarai dengan meletakkan Anuar Ibrahim sebagai Ketua Umum dan sebagainya,” katanya. – 15 Julai 2017.