14 Dituduh Curi Pasir

Seorang kontraktor dan 13 buruh mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Machang hari ini atas pertuduhan mengambil dan memindahkan pasir secara tidak sah pada 23 Februari lalu.

Kesemua tertuduh berusia 18 hingga 57 tahun mohon dibicarakan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mereka ialah Muhammad Hakimi Hamzah, 32; Tengku Harunarashid Tengku Alias, 44; Muhamad Nur Arief Mat Husin, 18; Mohamad Farid Haziq Abd. Rahim, 25; Norhisham Mah Hashim, 28; Mohd. Saifulazan Mohd. Sauffie, 29, dan Abdul Hadi Hamzah, 20.

Turut dituduh ialah Zulkiflie Sulaiman, 33; Wan Ahmad Wan Ismail, 55; Ismail Mahmood, 57; Mohammad Faris Afizul Mohd. Rozali, 20; Muhammad Abdul Aziz Hamzah, 23; Muhammad Saifful Amin Zahariman, 28, dan Mohamad Shahrul Nizam Mohamad Noor, 22.

Kesemua tertuduh didakwa secara bersama-sama mengambil dan memindahkan pasir di Jalan Tok Bok menuju ke Selising, Mukim Tok Bok, tanpa kebenaran yang sah pada 12.30 tengah hari, 23 Februari 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara 1965 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Bahagian Petugas Khas dan Pendakwaan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Mohd. Helmi Mat Zin menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Selepas mendengar pelbagai rayuan daripada setiap tertuduh, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh kecuali Muhamas Nur Arief yang masih belajar apabila dibenarkan jaminan sebanyak RM2,000.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes pada 28 Ogos depan bagi membolehkan kesemua tertuduh melantik peguam. – 16 Julai 2017.