Geng Harry Gunong Tumpas

Geng Harry Gunong yang aktif dalam kegiatan samun bersenjata dan pecah rumah di sekitar negeri Kelantan dan Terengganu akhirnya terkubur berikutan penahanan ketua dan konco-konconya tengah malam tadi.

Harry Gunong, 25, diberkas bersama konconya, Mat Yi dan Adik Ba yang masing-masing berusia 30 dan 20 tahun di sebuah restoran di Jalan Pasir Puteh, Melor, pada pukul 12.10 tengah malam.

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan, semasa serbuan dilakukan, berlaku pergelutan antara anggota dengan ketiga-tiga suspek yang bertindak agresif untuk melepaskan diri.

“Salah seorang suspek cuba melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Axia dan melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis.

“Anggota polis terpaksa menembak tayar kenderaan dipandu suspek sebelum berjaya menahan lelaki tersebut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Hasanuddin berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dinaiki suspek membawa kepada penemuan hasil samun serta peralatan yang digunakan mereka untuk menjalankan kegiatan jenayah.

Antara yang dirampas sepucuk pistol jenis Revolver .38, tiga biji peluru hidup, tiga bilah pedang, perenjat elektrik dan peralatan memecah rumah, kunci pelbagai jenis kereta, barang perhiasan, jam tangan dan pelbagai jenis telefon bimbit.

Semua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971, Seksyan 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – 16 Julai 2017.