Puteri Sultan Johor Nikah 14 Ogos

Puteri Sultan Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim akan dinikahkan dengan Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos ini.

Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, majlis pertunangan dan pernikahan akan diadakan di Istana Bukit Serene.

Manakala istiadat persandingan pasangan Pengantin Diraja akan diadakan di Bilik Singahsana Istana Besar Johor Bahru pada pukul 8 malam, hari sama.

“Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah memberi perkenan untuk Tunku Puteri Johor melangsungkan perkahwinannya.

“Perkahwinan Tunku Tun Aminah akan dilangsungkan penuh istiadat Melayu dan Budaya Istana Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, Johor Bahru hari ini.

Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran akan diadakan pada Khamis 10 Ogos di Masjid Pasir Pelangi bermula pukul 6.30 petang.

Sultan Johor berkenan mewakilkan Sahibus Samahah Datuk Muhammad Tahrir Shamsudin yang juga Mufti Negeri Johor sebagai wali.

Majlis perkahwinan dilangsungkan secara tertutup. – 16 Julai 2017.