Bajet 2018: Cuepacs Jumpa Kementerian Kewangan Jumaat Ini

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan bagi membincangkan mengenai Bajet 2018 Jumaat ini.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, Cuepacs berhasrat untuk memberi beberapa cadangan yang mungkin boleh dimanfaatkan kepada penjawat awam dan rakyat secara umumnya menerusi bajet itu nanti.

Beliau berkata, selaras dengan kejayaan kerajaan mengutip Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan baik, Cuepacs merasakan adalah wajar agar pelbagai cukai kepada rakyat khususnya penjawat awam dapat diberi potongan lebih tinggi, seperti potongan cukai pendapatan peribadi, potongan cukai buat anak-anak yang masih bersekolah, penjagaan ibu bapa dan sebagainya.

“Kita bincang selain cukai mungkin mengenai bonus, atau pelbagai bentuk rebat buat penjawat awam. Dalam setiap bajet kita sentiasa ambil kira apa saja yang akan dapat beri kebaikan, termasuk pemberian insentif kepada setiap peningkatan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak di Kuching.

Azih berkata, ramai penjawat awam hari ini mengalami tekanan akibat beban tugas yang semakin bertambah, lebih-lebih lagi selepas kerajaan memutuskan tiada penambahan kakitangan baharu, kecuali apabila berlaku kekosongan akibat persaraaan. – 17 Julai 2017.