“Dulu Dr. Mahathir Minta Kita Bencikan Anwar” – Ahmad Jazlan

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan menjadi punca Kelantan ketinggalan lebih 27 tahun di bawah pemerintahan pembangkang.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, sejarah pertelingkahan Anwar dan Dr. Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang telah membawa kepada penubuhan Semangat 46 sekali gus kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1990 di negeri itu.

Katanya, Dr. Mahathir dan Anwar adalah orang yang paling mengkhianati rakyat Kelantan kerana telah menafikan hak rakyat Kelantan untuk berada di bawah urus tadbir kerajaan negeri yang lebih baik berbanding kerajaan PAS.

“Jika tidak kerana mereka berdua, negeri ini pasti sudah ditadbir oleh pemimpin BN yang sudah tentu jauh lebih bijak dalam soal urus tadbir, lihatlah Kelantan hari ini, tengok keadaan sungai, sampaikan etak pun terpaksa kita ‘import’ dari Pahang.

“Kita orang Kelantan harus sedar kedua-dua pemimpin ini telah mengkhianati Kelantan lebih daripada mengkhianati orang lain, Melayu Kelantan telah dikhianati kedua pemimpin ini jauh lebih besar daripada pengkhianatan pemimpin ini kepada UMNO dan ahli UMNO di negeri lain.

“Saya seru rakyat menolak kedua-dua pemimpin ini, kita langsung tidak boleh terima mereka, sekali lagi hari ini mereka datang untuk pengaruhi rakyat bagi kesekian kalinya namun saya yakin rakyat Kelantan tidak akan percaya dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya KPTM Kota Bharu 2017 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPM) kolej itu di Lembah Sireh.

Ahmad Jazlan berkata, kerjasama antara Dr. Mahathir dan DAP adalah bukti sebenarnya sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, beliau hanya membohongi rakyat yang mempercayainya sebagai pejuang ulung orang Melayu demi mengekalkan kuasa.

Beliau berkata, dendam kesumat Dr. Mahathir juga ternyata tidak berkesudahan bermula daripada perseteruan dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dahulu beliau yang meminta kita benci Anwar kerana kesalahan liwat kononnya kerana sayangkan parti, demi bangsa dan demi agama.

“Saya masih ingat lagi kata-kata beliau dalam satu perjumpaan tertutup UMNO negeri mengenai Anwar “orang macam ini orang yang tidak ada moral langsung, saya takkan gadaikan bangsa dan negara kita” tetapi kini Anwar pula hendak diangkat jadi Perdana Menteri,” katanya. – 17 Julai 2017.