Janji Tidak Realistik, Mustahil

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, menjelang pilihan raya, adalah menjadi amalan kepada pembangkang untuk menabur janji yang tidak realistik serta mustahil untuk dilaksanakan.

Terbaharu, tujuh perkara yang dijanjikan pakatan pembangkang dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan sekiranya mereka berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN).

Mustapa yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, salah satu janji tersebut iaitu menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan menimbulkan masalah besar kepada negara sekiranya direalisasikan.

“Pembangkang menabur janji akan menghapuskan GST tapi realitinya kerajaan memerlukan wang hasil cukai tersebut untuk pembinaan infrastruktur di seluruh negara serta pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

“Jika GST dihapuskan, lebih kurang RM40 bilion akan terpadam daripada hasil pendapatan dan ini sudah pasti akan menimbulkan banyak masalah kepada negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Bomba (Sukbom) 2017 di Kota Bharu malam tadi.

Baru-baru ini, pakatan pembangkang diketuai DAP mengumumkan tujuh janji mereka yang akan ditunaikan dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Antaranya ialah menghapuskan GST dan menstabilkan harga minyak.

Mengulas lanjut, Mustapa menyeru rakyat supaya tidak mudah terpengaruh, sebaliknya berfikir secara matang dan membuat pertimbangan sewajarnya terhadap apa sahaja yang dijanjikan oleh pembangkang.

Mengenai pelancaran fasa kedua projek Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh – Kajang semalam, Mustapa berkata, perkara itu membawa transformasi besar terhadap perkhidmatan awam di negara ini.

Paling penting katanya, projek legasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan berjaya membawa kesejahteraan kepada kehidupan rakyat. – 18 Julai 2017.